CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Rabu, 5 Disember 2007

[A.P.A.I] Terus melangkah...

Lama betul rasanya tak mencoretkan sesuatu di laman blog ini, rasa- rasanya hampir 3 bulan. Dalam tempoh itu, banyak perubahan yang telah berlaku, terutama perubahan dalam kehidupan kerjaya aku. Semuanya dilakukan untuk memperbaiki perjalanan hidup. Satu penghijrahan...kehidupan baru yang berbeza baru bermula.

Setiap manusia akan menempuh perjalanan hidup yang berbeza- beza. Kehidupan juga akan berubah mengikut keadaan. Kehidupan kita ini boleh digambarkan seperti cuaca. Adakalanya kita akan menempuhi hari yang dipancari dengan cahaya mentari yang terang, adakalanya kita akan menempuh hari yang mendung dan gelap, dan adakalanya hujan akan menemani hari kita. Begitulah juga dengan kehidupan kita sebagai manusia di muka bumi Allah S.W.T. Adakalanya kita akan menempuhi kesenangan dan adakalanya kita akan mengharungi kesusahan dan kepayahan. Begitulah lumrah dalam kehidupan manusia dan sebagai manusia sudah pasti kita perlu menerimanya sebagai ujian dari Yang Maha Esa.

Walaupun aku tidak lagi berada di dalam bidang perniagaan, ia tidak bererti semangat keusahawanan aku berakhir di sini. Selepas menempuh ujian, dugaan dan pengalaman, akhirnya aku mengerti erti sebenar seorang USAHAWAN. Kita mungkin fikir definisi seorang usahawan itu hanya berkaitan dengan dunia perniagaan sahaja. Hakikatnya, kita semua adalah usahawan. Intisari, semangat dan prinsip seorang usahawan yang perlu ada dalam diri kita ialah kita perlu terus bangun dan berusaha setiap kali jatuh. Tak kira kita terlibat dengan apa sekalipun, bekerja atau berniaga atau belajar. Itulah pengajaran paling bermakna yang aku perolehi selepas 4 tahun aku terlibat di dalam bidang keusahawanan. Dan kerana prinsip inilah aku akan terus menyusun langkah dalam mengharungi kehidupan mendatang InsyaAllah.

Lesson Learned:

“Usahawan ialah seorang yang sentiasa bangun setiap kali jatuh. Dalam erti kata lain, berpantang maut sebelum ajal dan inilah intisari keusahawanan.”

-Tengku Farith Rithaudeen-

0 comments: